Assalamualaiku
Berikut ini contoh TA ( Tugas Akhir) mahasiswa STMIK Bani Saleh Bekasi yang berjudul "PROGRAM APLIKASI PENGAWASAN PRODUKSI PADA PT.............. Semoga bisa menjadi referensi teman-teman dalam mengerjakan Tugas Akhir.
1. Untuk mendapatkan File PDF silahkan di Download File PDF
2. Untuk mendapatkan program PHP silakan di Download Program PHP
Cara Berbagi Ilmu
Senin, 23 Februari 2015
Jumat, 22 Maret 2013
Muraqabah (Pengintaian)
Allah
Ta'ala berfirman:
"Dialah
yang melihatmu ketika engkau berdiri dan juga gerak tubuhmu di antara
orang-orang yang bersujud." (asy-Syu'ara':
218-219)
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Dan Dia adalah
besertamu di mana saja engkau semua berada." (al-Hadid: 4)
Allah Ta'ala
berfirman lagi:
"Sesungguhnya bagi
Allah tidak ada sesuatu yang tersembunyi baik di bumi ataupun di
langit."(ali-lmran: 5)
Lagi firmannya Allah
Ta'ala:
"Sesungguhnya Tuhanmu
itu nescaya tetap mengintipnya." (al-Fajar: 14)
Juga firmannya Allah
Ta'ala:
"Dia Maha Mengetahui
akan kekhianatan mata - maksudnya pandangan mata kepada sesuatu yang diiarang
atau kerlingan mata sebagai ejekan dan lain-lain perbuatan yang tidak baik - dan
apa saja yang tersembunyi dalam hati.” (al-Mu'min: 19)
Ayat-ayat yang
mengenai bab ini banyak sekali dan kiranya dapat dimaklumi.
Adapun Hadis-hadisnya
ialah:
60. Pertama: Dari
Umar bin Alkhaththab r.a., katanya: "Pada suatu ketika kita semua duduk di sisi
Rasulullah s.a.vv. yakni pada suatu hari, tiba-tiba muncullah di muka kita
seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam warna rambutnya,
tidak tampak padanya bekas perjalanan dan tidak seorang pun dari kita semua yang
mengenalnya, sehingga duduklah orang tadi di hadapan Nabi s.a.w. lalu menyandarkan
kedua lututnya pada kedua lutut beliau dan meletakkan kedua tangannya di atas
kedua pahanya sendiri dan berkata: "Ya Muhammad, beritahukanlah padaku tentang
Islam." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda:
"Islam, iaitu
hendaknya engkau menyaksikan bahawa tiada piihan kecuali Allah dan bahawa
Muhammad adalah utusan Allah, hendaklah pula engkau mendirikan shalat,
menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan melakukan haji ke Baitullah
jikalau engkau kuasa jalannya ke situ."
Orang itu berkata:
"Tuan benar."
Kita semua hairan
padanya, kerana ia bertanya dan juga membenarkannya. Ia berkata lagi: "Kemudian
beritahukanlah padaku tentang Iman."
Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Iaitu hendaklah
engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya,
rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula
kepada takdir, yang baik ataupun yang buruk - semuanya dari Allah
jua."
Orang itu berkata:
"Tuan benar." Kemudian katanya lagi:
"Kemudian
beritahukanlah padaku tentang Ihsan."
Rasulullah s.a.w.
menjawab: "Iaitu hendaklah engkau menyembah kepada Allah seolah-olah engkau
dapat melihatNya, tetapi jikalau tidak dapat seolah-olah melihatNya, maka
sesungguhnya Allah itu dapat melihatmu."
Ia berkata: "Tuan
benar." Katanya lagi: "Kemudian beritahukanlah padaku tentang hari
kiamat."
Rasulullah s.a.w.
menjawab: "Orang yang ditanya - yakni beliau s.a.w. sendiri - tentulah tidak
lebih tahu dari orang yang menanyakannya - yakni orang yang datang tiba-tiba
tadi.
Orang itu berkata
pula: "Selanjutnya beritahukanlah padaku tentang alamat-alamatnya hari kiamat
itu."
Rasulullah s.a.w.
menjawab:
"Iaitu apabila
seorang hamba sahaya wanita melahirkan tuan puterinya - maksudnya hamba sahaya
itu dikahwin oleh pemiliknya sendiri yang merdeka, lalu melahirkan seorang anak
perempuan. Anaknya ini dianggap merdeka juga dan dengan begitu dapat dikatakan
hamba sahaya perempuan melahirkan tuan puterinya - dan apabila engkau melihat
orang-orang yang tidak beralas kaki, telanjang-telanjang, miskin-miskin dan
sebagai penggembala kambing sama bermegah-megahan dalam gedung-gedung yang besar
- kerana sudah menjadi kaya-raya dan bahkan menjabat sebagai pembesar-pembesar
negara."
Selanjutnya orang itu
berangkat pergi. Saya - yakni Umar r.a. - berdiam diri beberapa saat lamanya,
kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hai Umar, adakah engkau mengetahui
siapakah orang yang bertanya tadi?" Saya menjawab: "Allah dan RasulNyalah yang
lebih mengetahuinya." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya orang tadi
adalah malaikat Jibril, ia datang untuk memberikan pelajaran tentang agama
kepadamu semua." (Riwayat Muslim)
Makna Talidulamatu
rabbatahaa, yakni tuan puterinya. Adapun pengertiannya ialah oleh sebab
banyaknya hamba sahaya perempuan sehingga budak-budak tersebut melahirkan puteri
untuk tuan yang memilikinya. Puteri tuannya itu sama kedudukannya dengan tuannya
sendiri. Tetapi ada sebahagian ulama yang mengatakan tidak sedemikian itu
maksudnya. Al-'Aalah, ialah golongan orang-orang fakir. Adapun kata
Maliyyan ertinya waktu yang lama, iaitu sampai tiga hari tiga malam
lamanya.
Keterangan:
Sebabnya Sayidina
Umar kehairanan kerana orang yang bertanya itu semestinya belum mengerti apa
yang ditanyakan, tetapi anehnya setelah diberi jawapan, tiba-tiba penanya itu
berkata: "Tuan benar," dan kata-kata sedemikian ini tentulah menunjukkan bahawa
penanya itu telah mengerti. Barulah kehairanan Sayidina Umar itu lenyap setelah
diberitahu bahawa yang bertanya tadi sebenarnya adalah Jibril a.s. yang
kedatangannya memang sengaja hendak mengajarkan soal-soal keagamaan kepada para
sahabat Rasulullah s.a.w.
Dalam Hadis di atas,
ada beberapa hal yang penting kita ketahui, iaitu:
(a)
Mendirikan shalat ertinya tidak semata-mata menjalankan shalat saja,
tetapi harus dipenuhi pula syarat-syarat serta rukun-rukunnya dan ditepatkan
selalu menurut waktu-waktunya.
(b)
Percaya kepada Allah yakni meyakinkan bahawa Allah itu ada (jadi jangan
beranggapan bahawa Allah itu tidak ada seperti faham komunis), dan lagi Allah
itu bersifat dengan semua sifat kemuliaan, keagungan dan kesempurnaan serta
terjauh dari semua sifat kekurangan, kehinaan dan kerendahan.
(c) Malak ialah
makhluk Allah yang dibuat daripada nur (cahaya) dan tidak berjejal-jejal seperti
cahaya lampu yang memenuhi rumah. Dengan cahaya seribu lampu, belum juga sesak
rumah itu. Dengan ini teranglah apa yang dimaksud dalam sebuah Hadis:
Ertinya:
"Bahawasanya Allah
itu mempunyai malaikat, ada yang memenuhi sepertiga alam, ada
yang memenuhi dua pertiga alam dan ada yang memenuhi alam
seluruhnya."
Adapun erti iman
kepada malaikat ialah harus percaya bahawa mereka itu benar-benar ada dan bahawa
mereka itu adalah hamba-hamba Allah yang dimuliakan. Malak itu sebenarnya kata
mufrad dan jamaknya berbunyi malaikat.
(d) Percaya kepada
kitab-kitab Allah ialah meyakinkan betul-betul bahawa kitab-kitab suci itu
adalah firman Allah yang sebenar-benarnya yang diturunkan pada Rasul-rasulNya
dengan jalan wahyu dan meyakinkan pula bahawa isi yang terkandung di dalamnya
ttu semua benar.
(e)
Percaya kepada para Rasul ertinya beri'tikad seteguh-teguhnya bahawa apa
yang mereka bawa itu memang sebenarnya dari Allah Ta'ala.
(f)
Hari Akhir ialah hari Kiamat. Iman dengan hari kiamat ertinya mempercayai
betul-betul akan terjadinya hari penghabisan itu dan apa saja yang terjadi
sesudahnya, misalnya Hasyar (akan dikumpulkannya semua makhluk di padang
mahsyar), Hisab (semua amal akan diperhitungkan), Mizan (amal-amal akan
ditimbang dalam neraca), menyeberangi jambatan yang disebut Shirath dan kemudian
ada yang masuk Jannah (syurga), ada pula yang terus terjun ke (neraka) dan
lain-lain hal lagi.
(g)
Qadar ialah ketentuan dari Allah sebelum Allah membuat semua makhluk ini,
yang baik mahupun yang jahat. Jadi segala macam adalah dengan kehendak Allah
yang telah dipastikan sejak zaman azali dulu iaitu zaman sebelum Allah membuat
apa-apa. Tetapi kita jangan lupa berikhtiar, kerana kita telah diberi akal oleh
Allah untuk mengusahakan bagaimana jalannya agar kita tetap bernasib baik dan
terjauh dari nasib buruk. Kita tetap harus berdaya upaya selama hayat dikandung
badan.
(h) Dengan cara
ibadat sebagaimana yang terkandung dalam erti kata Ihsan ini, maka tentu akan
khusyuklah kita sewaktu menyembah Allah itu. Kalau dapat seolah-olah tahu pada
Allah, ini namanya Mukasyafah (terbuka dari semua tabir yang menutup) dan kalau
mengangan-angankan bahawa Allah tetap melihat kita, ini namanya Muraqabah
(mengintai-intainya Allah pada kita).
(i) Tanda-tanda yang
dimaksud ini ialah tanda-tanda kecil sebab datangnya hari kiamat itu ada
tanda-tandanya yang kecil dan ada tanda-tandanya yang besar. Tanda-tanda kecil
ertinya datangnya itu masih agak jauh, tetapi bila tanda-tanda besar telah
nampak, maka itulah yang menunjukkan bahawa hari kiamat telah sangat dekat
sekali saat terjadinya.
(j) Hamba sahaya
perempuan melahirkan tuannya - ertinya, banyak sahaya perempuan itu yang
dikahwin oleh raja-raja atau pejabat-pejabat tinggi lalu melahirkan anak-anak
perempuan sehingga anak-anaknya itu pun akan berkedudukan sebagaimana
ayahnya.
(k) Orang yang tak
beralas kaki, telanjang, miskin serta penggembala kambing sama bermegah-megah
dalam gedung-gedung besar, maksudnya ialah bahawa yang asalnya hanya penggembala
yang miskin hingga seolah-olah tak pernah beralas kaki dan pakaiannya
hampir-hampir tidak ada (boleh dikata telanjang) tiba-tiba menjadi
pembesar-pembesar negeri dan mendiami gedung-gedung besar lagi indah dan sama
berkuasa serta kaya raya. Dengan demikian, keadaan negeri lalu rosak binasa
sebab sesuatu perkara semacam pemerintahan diserahkan kepada orang yang bukan
ahlinya, sebagaimana dalam sebuah Hadis diterangkan:
Ertinya:
"Apabita sesuatu
perkara itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat
kerosakannya."
Dengan
ini tahulah kita bahawa Islam itu mengandungi tiga unsur yang utama
yakni:
A. 5 Arkanul Islam,
B. 6 Arkanul lman dan C. 2 Arkanul Ihsan.
61. Kedua: Dari Abu
Zar, iaitu Jundub bin Junadah dan Abu Abdur Rahman iaitu Mu'az bin Jabal
radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:
"Bertaqwalah kepada
Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan buruk itu dengan
perbuatan baik, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan
tadi dan pergaulilah para manusia dengan budi pekerti yang
bagus."
Diriwayatkan oleh
Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Keterangan:
Hadis ini mengandungi
tiga macam unsur, yakni bertaqwa kepada Allah, kebaikan diikutkan sesudah
mengerjakan keburukan dan perintah bergaul dengan baik antara seluruh ummat
manusia. Mengenai yang ketiga tidak kami jelaskan lebih panjang, sebab
masing-masing bangsa tentu memiliki cara-cara atau adat-istiadat sendiri. Namun
demikian juga mesti dilaksanakan dengan mengikuti ajaran-ajaran yang ditetapkan
oleh agama Islam, sehingga tidak melampaui batas, akhirnya terperosok dalam
hal-hal yang diharamkan oleh Allah Ta'ala. Jadi di bawah ini akan dihuraikan
perihal yang dua buah unsur saja, iaitu:
(a) Takut pada Allah
atau Taqwallah adalah satu kata yang menghimpun erti yang sangat dalam sekali,
pokoknya ialah mengikuti dan mengamalkan semua perintah Allah dan menjauhi serta
menahan diri dari melakukan larangan-laranganNya. Dengan demikian terjagalah
jiwa dan terpeliharalah hati manusia dari kemungkaran, kemaksiatan, kemusyrikan
yang terang (jali) atau yang tidak terang (khafi), juga terhindar dari kekufuran
dan kemurtadan. Tuhan tentu akan melindungi orang yang taqwa itu dari semuanya
tadi. Tentang ini Allah telah berfirman:
"Sesungguhnya Allah
adalah beserta orang-orang yang taqwa dan orang-orang yang sama berlaku
baik."
(b) Mengikutkan
kebaikan sesudah melakukan kejahatan itu misalnya ialah bertaubat, kerana dengan
demikian lenyaplah segenap kesalahan yang kita lakukan, asalkan kita bertaubat
itu dengan sebenar-benarnya, sebagaimana firman Allah:
Ertinya:
"Melainkan orang yang
bertaubat dan beriman dan beramal shalih, maka mereka itu keburukan-keburukannya
akan diganti oleh Allah dengan kebaikan-kebaikan."
62. Ketiga: Dari Ibnu
Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya berada di belakang Nabi s.a.w. - dalam
kenderaan atau membonceng - pada suatu hari, lalu beliau bersabda:
"Hai anak,
sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat iaitu:
Peliharalah Allah -
dengan mematuhi perintah-perintahNya serta menjauhi larangan-laranganNya, pasti
Allah akan memeliharamu, peliharalah Allah, pasti engkau akan dapati Dia di
hadapanmu. Jikalau engkau meminta, maka mohonlah kepada Allah dan jikalau engkau
meminta pertolongan, maka mohonkanlah pertolongan itu kepada Allah
pula.
Ketahuilah
bahawasanya sesuatu ummat - yakni makhluk seluruhnya - ini, apabila berkumpul -
bersepakat - hendak memberikan kemanfaatan
padamu dengan sesuatu - yang dianggapnya
bermanfaat untukmu, maka mereka itu tidak akan dapat memberikan kemanfaatan itu,
melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah untukmu. Juga jikalau
ummat-seluruh makhluk - itu berkumpul - bersepakat - hendak memberikan bahaya
padamu dengan sesuatu - yang dianggap berbahaya untukmu, maka mereka itu tidak
akan dapat memberikan bahaya itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan
oleh Allah untukmu. Pena telah diangkat - maksudnya ketentuan - ketentuan telah
ditetapkan - dan lembaran-lembaran kertas telah kering - maksudnya
catatan-catatan di Lauh Mahfuzh sudah tidak dapat diubah
lagi."
Diriwayatkan oleh
Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
Dalam riwayat selain
Termidzi disebutkan:
"Peliharalah Allah,
maka engkau akan mendapatkanNya di hadapanmu. Berkenalanlah kepada Allah - yakni
tahulah kewajiban-kewajiban yang harus ditunaikan untuk Allah - di waktu engkau
dalam keadaan lapang - sihat, kaya dan lain-lain, maka Allah akan mengetahuimu -
memerhatikan nasibmu - di waktu engkau dalam keadaan kesukaran - sakit, miskin
dan lain-lain.
Ketahuilah bahawa
apa-apa yang terlepas daripadamu itu -keuntungan atau bahaya, tentu tidak akan
mengenaimu dan apa-apa yang mengenaimu itu pasti tidak akan dapat terlepas
daripadamu.
Ketahuilah bahawa
pertolongan itu beserta kesabaran dan bahawasanya kelapangan itu beserta
kesukaran dan bahawasanya beserta kesukaran itu pasti ada
kelonggaran."
Keterangan:
Hal-hal yang perlu
dimaklumi dalam Hadis ini ialah:
(a) Ada
di belakang Nabi s.a.w. maksudnya ialah membonceng waktu naik bighal
(semacam kuda) dengan duduk di belakang beliau.
(b)
Peliharalah Allah, yakni peliharalah perintah-perintah dan
larangan-larangan Allah serta berhati-hatilah pada kedua macam hal itu, pasti
engkau dijaga olehNya dalam duniamu, agamamu, dirimu dan keluargamu.
(c) Ummat ialah semua makhluk yang
dimaksudkan.
(d)
Pena-pena telah diangkat,
ertinya ketentuan-ketentuan telah tetap.
(e) Kertas-kertas
telah kering maksudnya catatan-catatan semua yang ada di dalam dunia semesta ini
(sebagaimana yang tertera di
Lauh Mahfuzh) tentu
saja tak ada yang dapat mengubah takdir-takdir dari Allah itu
kecuali yang dikehendaki olehNya sendiri sebagaimana
firmanNya:
Ertinya:
"Allah menghapus
serta menetapkan apa saja yang dikehendaki olehNya dan di sisi Allahlah ummul
kitab atau pokok Catalan. Ummul kitab ini adalah ilmu Allah yang qadim (dahulu)
sejak zaman azali (sebelum ada apa-apa kecuali Allah)."
(f) Selain Tirmidzi
yakni 'Abd bin Humaid dan juga Imam Ahmad.
(g) Suka mengenai
pada Allah ertinya senantiasa mendekat dan taat padaNya. Kalau kita suka
demikian ketika kita dalam keadaan lapang (banyak rezeki dan badan sihat), maka
Allah pasti suka melihat kita yakni mahu memberi pertolongan pada kita apabila
kita dalam keadaan sukar pada suatu waktu.
(h) Suatu yang telah
ditentukan oleh Allah (sejak zaman azali) akan lepas dari kita, (tidak dapat
kita capai), sudah tentu selamanya barang itu tetap lepas dari kita yakni tidak
dapat mengenai kita (kita peroleh). Demikian pula sebaliknya, iaitu bahawa
sesuatu yang telah ditentukan akan kita dapatkan, maka bagaimanapun juga tidak
akan lepas dari
kita.
(i) Pertolongan Allah
beserta kesabaran yakni bila kita ingin pertolongan dari Allah, haruslah kita
sabar.
(j) Kelapangan
beserta kesusahan dan nanti pasti ada kelonggaran yakni manusia itu tidak
mungkin akan terus menerus susah dan sukar, insya Allah pada suatu ketika ia
akan menemui kelapangan dan kelonggaran juga.
63. Keempat: Dari
Anas r.a., katanya: "Sesungguhnya engkau semua pasti melakukan berbagai amalan -
yang diremehkannya sebab dianggap dosa kecil-kecil saja, yang amalan-amalan itu
adalah lebih halus - lebih kecil - menurut pandangan matamu daripada sehelai
rambut. Tetapi kita semua di zaman Rasulullah s.a.w. menganggapnya termasuk
golongan dosa-dosa yang merosakkan - menyebabkan kecelakaan dan
kesengsaraan."
Diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan ia mengatakan bahawa erti Almubiqat ialah apa-apa yang
merosakkan.
64. Kelima: Dari Abu
Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala itu cemburu
dan kecemburuan Allah Ta'ala
itu ialah apabila
seseorang manusia mendatangi
-mengerjakan - apa-apa yang diharamkan oleh Allah atasnya." (Muttafaq
'alaih)
65.
Keenam: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ia mendengar Nabi s.a.w.
bersabda:
"Sesungguhnya ada
tiga orang dari kaum Bani Israil, iaitu orang sopak - yakni belang-belang
kulitnya, orang botak dan orang buta. Allah hendak menguji mereka itu, kemudian
mengutus seorang malaikat kepada mereka. Ia mendatangi orang supak lalu berkata:
"Keadaan yang bagaimanakah yang amat tercinta bagimu?" Orang supak berkata:
"Warna yang baik dan kulit yang bagus, juga lenyaplah kiranya penyakit yang
menyebabkan orang-orang merasa jijik padaku ini." Malaikat itu lalu mengusapnya
dan lenyaplah kotoran-kotoran itu dari tubuhnya dan dikurniai -oleh Allah Ta'ala
- warna yang baik dan kulit yang bagus. Malaikat itu berkata pula: "Harta macam
apakah yang amat tercinta bagimu?" Orang itu menjawab: "Unta." Atau katanya:
"Lembu," yang merawikan Hadis ini sangsi - apakah unta ataukah lembu. Ia lalu
dikurniai unta yang bunting, kemudian malaikat berkata: "Semoga Allah memberi
keberkahan untukmu dalam unta ini."
Malaikat itu
seterusnya mendatangi orang botak, kemudian berkata: "Keadaan yang bagaimanakah
yang amat tercinta bagimu?" Orang botak berkata: "Rambut yang bagus dan
lenyaplah kiranya apa-apa yang menyebabkan orang-orang merasa jijik padaku ini."
Malaikat itu lalu mengusapnya dan lenyaplah botak itu dari kepalanya dan ia
dikurnia rambut yang bagus. Malaikat berkata pula: "Harta macam apakah yang amat
tercinta bagimu?" Ia berkata: "Lembu." la pun lalu dikurnia lembu yang bunting
dan malaikat itu berkata: "Semoga Allah memberikan keberkahan untukmu dalam
lembu ini."
Akhirnya malaikat itu
mendatangi orang buta lalu berkata: "Keadaan bagaimanakah yang amat tercinta
bagimu?" Orang buta menjawab: "Iaitu hendaknya Allah mengembalikan penglihatanku
padaku sehingga aku dapat melihat semua orang." Malaikat lalu mengusapnya dan
Allah mengembalikan lagi penglihatan padanya. Malaikat berkata pula: "Harta
macam apakah yang amat tercinta bagimu?" Ia menjawab: "Kambing." la pun dikurnia
kambing yang bunting - hampir beranak.
Yang dua ini - unta
dan lembu melahirkan anak-anaknya dan yang ini - kambing - juga melahirkan
anaknya. Kemudian yang seorang - yang supak - mempunyai selembah penuh unta dan
yang satunya lagi - yang botak - mempunyai selembah lembu dan yang lainnya lagi
- yang buta - mempunyai selembah kambing.
Malaikat itu lalu
mendatangi lagi orang - yang asalnya - supak dalam rupa seperti orang supak itu
dahulu keadannya - yakni berpakaian serba buruk - dan berkata: "Saya adalah
orang miskin, sudah terputus semua sebab-sebab untuk dapat memperolehi rezeki
bagiku dalam berpergianku ini. Maka tidak ada yang dapat menyampaikan maksudku
pada hari ini kecuali Allah kemudian dengan pertolongan mu pula. Saya meminta
padamu dengan atas nama Allah yang telah mengurniakan padamu warna yang baik dan
kulit yang bagus dan pula harta yang banyak, sudi kiranya engkau menyampaikan
maksudku dalam berpergianku ini - untuk sekadar bekal perjalanannya." Orang
supak itu menjawab: "Keperluan-keperluanku masih banyak sekali." Jadi enggan
memberikan sedekah padanya. Malaikat itu berkata lagi: "Seolah-olah saya pernah
mengenalmu. Bukankah engkau dahulu seorang yang berpenyakit supak yang dijijiki
oleh seluruh manusia, bukankah engkau dulu seorang fakir, kemudian Allah
mengurniakan harta padamu?" Orang supak dahulu itu menjawab: "Semua harta ini
saya mewarisi dari nenek-moyangku dulu dan mereka pun dari nenek-moyangnya
pula." Malaikat berkata pula: "Jikalau engkau berdusta dalam pendakwaanmu -
huraianmu yang menyebutkan bahawa harta itu adalah berasal dari warisan, maka
Allah pasti akan menjadikan engkau kembali seperti keadaanmu semula.
Malaikat itu
selanjutnya mendatangi orang - yang asalnya -botak, dalam rupa - seperti orang
botak dulu - dan keadaannya -yang hina dina, kemudian berkata kepadanya
sebagaimana yang dikatakan kepada orang supak dan orang botak itu menolak
permintaannya seperti halnya orang supak itu pula. Akhirnya malaikat itu
berkata: "Jikalau engkau berdusta, maka Allah pasti akan menjadikan engkau
kembali sebagaimana keadaanmu semula."
Seterusnya malaikat
itu mendatangi orang - yang asalnya - buta dalam rupanya - seperti orang buta
itu dahulu - serta keadaannya - yang menyedihkan, kemudian ia berkata: "Saya
adalah orang miskin dan anak jalan - maksudnya sedang bepergian dan kehabisan
bekal, sudah terputus semua sebab-sebab untuk dapat memperoleh rezeki bagiku
dalam berpergianku ini, maka tidak ada yang dapat menyampaikan maksudku pada
hari ini, kecuali Allah kemudian dengan pertolonganmu pula. Saya meminta padamu
dengan atas nama Allah yang mengembalikan penglihatan untukmu iaitu seekor
kambing yang dapat saya gunakan untuk menyampaikan tujuanku dalam berpergian
ini." Orang buta dahulu itu berkata: "Saya dahulu pernah menjadi orang buta,
kemudian Allah mengembalikan penglihatan padaku. Maka oleh sebab itu ambillah
mana saja yang engkau inginkan dan tinggalkanlah mana saja yang engkau inginkan.
Demi Allah saya tidak akan membuat kesukaran padamu - kerana tidak meluluskan
permintaanmu -pada hari ini dengan sesuatu yang engkau ambil kerana mengharapkan
keredhaan Allah 'Azzawajalla."
Malaikat itu lalu
berkata: "Tahanlah hartamu - ertinya tidak diambil sedikitpun, sebab sebenarnya
engkau semua ini telah diuji, kemudian Allah telah meredhai dirimu dan memurkai
pada dua orang sahabatmu - yakni si supak dan si botak." [8]<!--[endif]-->
(Muttafaq alaih)
Dalam riwayat Imam
Bukhari kata-kata: La ajhaduka, yang ertinya: "Aku tidak akan membuat
kesukaran padamu", itu diganti: La ahmaduka, ertinya: "Aku tidak memujimu
- menyesali diriku - sekiranya hartaku tidak ada yang engkau tinggalkan kerana
engkau memerlukannya." [9]
66. Ketujuh: Dari Abu
Ya'la iaitu Syaddad bin Aus r.a.dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Orang yang cerdik -
berakal - ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal
untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang
dirinya selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan atas
Allah - yakni mengharap-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa
beramal shalih."
Diriwayatkan oleh
Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Imam Tirmidzi dan
lain-lain ulama mengatakan bahawa makna Daana nafsahu ertinya membuat
perhitungan pada diri sendiri.
67. Kedelapan: Dari
Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Setengah daripada
kebaikan keislaman seseorang ialah apabila ia suka meninggalkan apa-apa yang
tidak memberikan kemanfaatan padanya - yakni ia tidak memerlukan untuk
mencampuri urusan itu. Ini adalah Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam
Termidzi dan lain-lain.
Keterangan:
Meninggalkan sesuatu
yang tidak berfaedah misalnya sesuatu yang memang bukan urusan kita atau sesuatu
yang terang salah dan batil, maka tidak berguna kita membela atau menolongnya.
Demikian pula sesuatu yang bila kita campuri, maka bukan makin baik dan mungkin
mencelakakan diri kita sendiri. Semua itu baiklah kita tinggalkan, kalau kita
ingin jadi orang Islam yang baik.
68.
Kesembilan: Dari Umar r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Janganlah
seseorang lelaki itu ditanya apa sebabnya ia memukul
isterinya - sebab
mungkin ia akan malu
jikalau sebab pemukulannya diketahui oleh orang
lain."
Diriwayatkan oleh
Imam Abu Dawud dan lain-lainnya.
Rabu, 13 Maret 2013
Memelihara Kelangsungan Amalan-amalan
Allah Ta'ala
berfirman:
"Belumkah datang
waktunya bagi orang-orang yang beriman, supaya hati mereka itu khusyu' untuk
mengingat-ingat kepada Allah dan kebenaran yang turun kepada mereka itu - yakni
al-Quran. Janganlah mereka itu berkeadaan yang serupa dengan orang-orang yang
telah diberi kitab-kitab pada masa dahulu - sebelum mereka,
tetapi mereka telah melalui masa yang panjang, kemudian menjadi keras lah hati
mereka tersebut - yakni enggan menerima kebenaran." (al-Hadid: 16)
Allah Ta'ala
berfirman lagi:
"Kemudian Kami
- Allah - iringkan di belakang
mereka dengan beberapa Rasul Kami dan Kami iringkan pula dengan Isa anak Maryam,
serta Kami berikan Injil kepadanya. Kami
memberikan perasaan kasih sayang dalam
hati para pengikutnya. Keruhbaniahan itu mereka ada-adakan saja. Kami tidak
mewajibkan demikian itu atas mereka. Yang Kami perintahkan - tidak lain kecuali
mencari keredhaan Allah, tetapi mereka tidak memelihara itu sebagaimana mestinya
yang ditentukan." (al-Hadid: 27)
Keterangan:
Keruhbaniahan,
ertinya hidup dalam kelompok bagi
para penganut atau pendeta-pendeta agama Nasrani. Ini bukan berasal dari ajaran
Nabiullah Isa a.s. dan itu hanyalah buatan kepala-kepala agama yang datang
sepeninggalan beliau. Islam juga tidak membenarkan adanya ruhbaniah.
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Janganlah engkau
semua itu seperti perempuan yang menghuraikan benangnya menjadi lepas kembali
setelah dipintal kuat-kuat." (an-Nahl: 92)
Juga Allah Ta'ala
berfirman:
"Dan sembahlah
Tuhanmu sehingga datanglah keyakinan - dan maksudnya kematian - kepadamu."
(al-Hijr: 99)
Adapun Hadis-hadis
yang menerangkan bab di atas itu, di antaranya ialah Hadisnya Aisyah:
"Mengerjakan agama yang tercinta di sisi Allah ialah yang dikekalkan oleh
orangnya - yakni tidak bosan-bosan melakukannya sekalipun sederhana." Hadis ini
telah disebutkan dalam huraian sebelum ini - Lihat Hadis nombor 142.
Selain Hadis di atas
ialah:
153. Dari
Umar al-Khaththab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Barangsiapa yang
tertidur sehingga kelupaan membacakan hizibnya di waktu malam atau sebahagian
dari hizibnya itu, kemudian ia membacanya antara waktu shalat fajar dengan
zuhur, maka dicatatlah untuknya seolah-olah ia membacanya itu di waktu malam
harinya." (Riwayat Muslim)
154. Dari Abdullah
bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: Rasulullah s.a.w. pernah
bersabda kepadaku:
"Hai Abdullah,
janganlah engkau seperti si Fulan itu. Dulu ia suka bangun bersembahyang malam,
kemudian ia meninggalkan bangun malam
itu." (Muttafaq
'alaih)
155. Dari Aisyah
radhiallahu 'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu apabila terlepas dari shalat
malam, baik kerana sakit ataupun lain-lainnya, maka beliau bersembahyang di
waktu siangnya sebanyak dua belas rakaat." (Riwayat Muslim)
Selasa, 12 Maret 2013
Yakin Dan Tawakkal
Allah
Ta'ala berfirman:
"Setelah
orang-orang yang beriman itu melihat pasukan serikat - musuh - mereka
berkata: "Inilah yang dijanjikan oleh Allah dan
RasulNya kepada kita dan Allah dan RasulNya itu berkata benar. Hal yang
sedemikian itu tidaklah menambahkan kepada orang-orang yang beriman tadi
melainkan kelmanan dan penyerahan bulat-bulat." (al-Ahzab:
22)
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Para manusia berkata
kepada orang-orang yang beriman itu: "Sesungguhnya orang-orang telah berkumpul
untuk melawan engkau semua, oleh kerana itu takutlah kepada mereka." Tetapi hal
itu makin menambah keimanan mereka. Mereka menjawab: Allah cukup menjadi
pelindung kita dan sebaik-baiknya yang dijadikan tempat
bertawakkal.
Kemudian mereka
kembali dengan mendapatkan kenikmatan dan keutamaan dari Allah, mereka tidak
terkena sesuatu halangan pun dan mereka mengikuti keredhaan Allah dan Allah itu
memiliki keutamaan yang agung." (ali-lmran: 173-174)
Allah Ta'ala
berfirman lagi:
"Dan bertawakkallah
kepada Tuhan yang Maha Hidup yang tidak akan mati." (al-Furqan: 58)
Lagi Allah Ta'ala
berfirman:
"Dan kepada Allah,
hendaklah orang-orang yang beriman itu sama bertawakkal," (Ibrahim:
11)
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Jikalau engkau telah
bulat tekad - untuk melaksanakan sesuatu - maka bertawakkallah kepada Allah."
(ali-lmran: 159)
Ayat-ayat
mengenai hal bertawakkal
itu banyak dan dapat dimaklumi.
Juga Allah Ta'ala
berfirman:
"Dan barangsiapa
bertawakkal kepada Allah, maka Dia pasti mencukupi untuknya." (at-Thalaq:
3)
Lagi firmannya Allah
Ta'ala:
"Hanyasanya
orang-orang yang beriman itu, ialah mereka yang apabila disebutkan nama Allah,
maka hati mereka itu menjadi ketakutan, juga apabila ayat-ayatNya dibacakan
kepada mereka, maka bertambah-tambahlah keimanan mereka dan mereka itu sama
bertawakkal kepada Tuhannya." (al-Anfal: 2)
Ayat-ayat perihal
keutamaan bertawakkal itu pun banyak pula dan dapat pula diketahui.
Keterangan:
Banyak sekali orang
yang salah mengerti dalam melaksanakan ketawakkalan kepada Allah Ta'ala itu. Ada
yang berpendapat, tawakkal ialah menyerah bulat-bulat kepada Tuhan tanpa berbuat
daya-upaya dan usaha untuk mencari mana-mana yang baik dan menyebabkan
kebahagiaan. Ringkasnya enggan berikhtiar atau menyingsingkan lengan baju.
Anehnya ia meminta yang enak-enak belaka. Orang semacam di atas itu rupanya
berpendapat, bahawa tidak perlu ia belajar, jika Tuhan menghendaki ia menjadi
orang pandai, tentu pandai juga nantinya. Juga tidak perlu bekerja, jika Tuhan
menghendaki ia menjadi kaya, tentu kaya juga nantinya. Atau ketika sakit, tidak
perlu ia berubat, jika Tuhan menghendaki sembuh tentu sihat kembali pula.
Semuanya itu samalah halnya dengan orang yang sedang lapar, sekalipun
macam-macam makanan di hadapan mukanya, tetapi ia berpendapat, jika Tuhan
menghendaki kenyang, tanpa makan pun akan menjadi kenyang juga. Cara berfikir
semacam di atas itu, apabila diterus-teruskan, pasti akan membuat kesengsaraan
diri sendiri, bahkan merosak akalnya sendiri.
Adapun maksud
tawakkal yang diperintahkan oleh agama itu ialah menyerahkan diri kepada Allah
sesudah berdaya-upaya dan berusaha serta bekerja sebagaimana mestinya. Misalnya
meletakkan penyelak di muka rumah, setelah dikunci baik-baik, lalu bertawakkal.
Ertinya apabila setelah dikunci itu masih juga hilang umpama dicuri orang, maka
dalam pandangan agama orang itu sudah tidak bersalah, sebab telah melakukan
ikhtiar supaya jangan sampai hilang. Hal yang semacam itu pernah terjadi di
zaman Rasulullah s.a.w., iaitu ada seorang sahabatnya yang meninggalkan untanya
tanpa diikatkan pada sesuatu, seperti pohon, tonggak dan lain-lain, lalu
ditinggalkan.
Beliau s.a.w.
bertanya: "Mengapa tidak kamu ikatkan?" Ia menjawab: "Saya sudah bertawakkal
kepada Allah." Rasulullah s.a.w. tidak dapat menyetujui cara berfikir orang itu,
lalu bersabda:
Ertinya:
"Ikatlah dulu lalu
bertawakkallah."
Ringkasnya tawakkal
tanpa usaha lebih dulu adalah salah dan keliru menurut pandangan
Islam.
Jikalau kita sudah
dapat meletakkan erti tawakkal pada garis yang sebenarnya, maka sangat sekali
dipuji dan pasti kita tidak akan kekurangan rezeki, sebab Allah Ta'ala akan
menjamin bahawa kita akan diberi bahagian rezeki kita masing-masing sebagaimana
halnya burung yang pergi pagi-pagi dalam keadaan kosong perut, sedang pada
petang harinya telah menjadi kenyang.
Selain itu Allah
berfirman bahawa sifat-sifat kaum mu'minin itu di antaranya ialah selalu
bertawakkal kepada Allah Ta'ala dengan pengertian tawakkal yang tidak
disalah-mengertikan.
FirmanNya:
"Hanyasanya
orang-orang yang beriman itu apabila nama Allah disebutkan, menjadi gentarlah
hati mereka dan apabila ayat-ayat Allah dibacakan, maka bertambahlah keimanan
mereka dan hanya kepada Allah jualah mereka bertawakkal." (al-Anfal:
2)
Yang perlu kita
perhatikan, sehubungan dengan persoalan ini ialah:
Dalam mengejar
cita-cita, supaya dapat berhasil kecuali amat diperlukan adanya sifat kesabaran,
juga wajib disertai sifat tawakkal ini. Kerana yang menentukan berhasil atau
tidaknya sesuatu maksud itu hanyalah Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri. Lebih
besar yang dicita-citakan, wajib lebih besar pula sabar dan tawakkalnya,
misalnya ingin menjadi seorang yang alim, ingin memajukan agama, ingin
mendirikan sesuatu negara yang benar-benar diredhai oleh Allah Ta'ala, ingin
melaksanakan hukum-hukum dan syariat Islam dalam negara dan lain-lain
sebagainya. Setelah bersabar dan bertawakkal wajib pula disertai doa, memohon
kepada Allah semoga yang dicita-citakan itu berhasil, jangan bosan-bosan berdoa
dan yakinlah bahawa Allah akan mengabulkan. Insya Allah.
Adapun Hadis-hadisnya
ialah:
74. Pertama: Dari
Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Dipertontonkanlah
padaku berbagai ummat, maka saya melihat ada seorang Nabi dan besertanya adalah
sekelompok manusia kecil - antara tiga orang sampai sepuluh, ada pula Nabi dan
besertanya adalah seorang lelaki atau dua orang saja, bahkan ada pula seorang
Nabi yang tidak disertai seseorang pun. Tiba-tiba diperlihatkanlah padaku suatu
gerombolan manusia yang besar, lalu saya mengira bahawa mereka itulah ummatku.
Lalu dikatakanlah padaku: "Ini adalah Musa dengan kaumnya. Tetapi lihatlah ke
ufuk - sesuatu sudut." Kemudian saya pun melihatnya, lalu saya lihatlah dan
tiba-tiba nampaklah di situ suatu gerombolan ummat yang besar juga. Selanjutnya
dikatakan pula kepadaku: "Kini lihatlah pula ke ufuk yang lain lagi itu."
Tiba-tiba di situ terdapatlah suatu kelompok yang besar pula, lalu dikatakanlah
padaku: "Inilah ummatmu dan beserta mereka itu ada sejumlah tujuh puluh ribu
orang yang dapat memasuki syurga tanpa dihisab dan tidak terkena
siksa."
Kemudian Rasulullah
s.a.w. bangun dan terus memasuki rumahnya. Orang-orang banyak sama
bercakap-cakap mengenai para manusia yang memasuki syurga tanpa dihisab dan
tanpa disiksa itu. Sebahagian dari sahabat itu ada yang berkata: "Barangkali
mereka itu ialah orang-orang yang telah menjadi sahabat Rasulullah s.a.w."
Sebahagian lagi berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang
dilahirkan di zaman sudah munculnya agama Islam, kemudian tidak pernah
mempersekutukan sesuatu dengan Allah." Banyak lagi sebutan -
percakapan-percakapan - mengenai itu yang mereka kemukakan.
Rasulullah s.a.w.
lalu keluar menemui mereka kemudian bertanya: "Apakah yang sedang engkau semua
percakapkan itu." Para sahabat memberitahukan hal itu kepada beliau. Selanjutnya
beliau s.a.w. bersabda:
"Orang-orang yang
memasuki syurga tanpa hisab dan siksa itu ialah mereka yang tidak pernah memberi
mentera-mentera tidak meminta mentera-mentera dari orang lain - kerana sangatnya
bertawakkal kepada Allah, tidak pula merasa akan memperolehi bahaya kerana
adanya burung-burung - atau adanya hal yang lain-lain atau ringkasnya meyakini
guhon tuhon atau khurafat yang sesat - dan pula sama bertawakkal kepada
Tuhannya."
'Ukkasyah bin Mihshan
al-Asadi, kemudian berkata: "Doakanlah saya - ya Rasulullah - kepada Allah
supaya Allah menjadikan saya termasuk golongan mereka itu - tanpa hisab dan
siksa dapat memasuki syurga." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Engkau termasuk
golongan mereka." Selanjutnya ada pula orang lain yang berdiri lalu berkata:
"Doakanlah saya kepada Allah supaya saya oleh Allah dijadikan termasuk golongan
mereka itu pula." Kemudian beliau bersabda: "Permohonan seperti itu telah
didahului oleh 'Ukkasyah." (Muttafaq 'alaih)
Lafaz 'Ukkasyah
dengan mendhammahkan 'ain serta mensyaddahkan kafnya, tetapi boleh pula
kafnya itu diringankan, yakni tidak disyaddahkan lalu dibaca 'Ukasyah.
Namun begitu, dengan mensyaddahkan kafnya adalah lebih fasih.
75. Kedua: Dari Ibnu
Abbas radhiallahu 'anhuma juga bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda - dalam
berdoa:
"Ya Allah,
kepadaMulah saya menyerahkan diri, denganMu saya beriman, atasMu saya
bertawakkal, ke hadhiratMu saya bertaubat, denganMu saya berbantah - menghadapi
musuh-musuh agama."
"Ya Allah, saya mohon
perlindungan dengan kemuliaanMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, kalau sampai
Engkau menyesatkan diriku. Engkau Maha Hidup yang tidak akan mati, sedangkan
semua jin dan manusia pasti mati." (Muttafaq 'alaih)
Hadis di atas itu
menurut lafaz Imam Muslim dan diringkaskan dalam lafaz Imam Bukhari.
76. Ketiga: Dari Ibnu
Abbas radhiallahu'anhuma pula, katanya: "Lafaz: Hasbunallah wa ni'mal wakil,
ertinya: Cukuplah Allah itu sebagai penolong kita dan Dia adalah
sebaik-baiknya yang diserahi, itu pernah diucapkan oleh Ibrahim a.s. ketika
beliau dilemparkan ke dalam api, Juga pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
ketika orang-orang sama berkata: "Sesungguhnya orang-orang banyak telah
berkumpul-bersatu-untuk memerangi engkau,maka takutilah mereka itu," tetapi
ucapan sedemikian itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang beriman
melainkan keimanan belaka dan mereka berkata: Hasbunallah wa ni'mal wakil.
(Riwayat Bukhari)
Dalam riwayat Bukhari
pula dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma disebutkan: Ucapan Nabi Ibrahim yang
terakhir sekali ketika beliau dilemparkan ke dalam api iaitu: Hasbiallah wa
ni'mal wakil artinya: "Cukuplah Allah itu sebagai penolongku dan Dia adalah
sebaik-baiknya yang diserahi."
77. Keempat: Dari Abu
Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Masuklah ke dalam
syurga itu para kaum yang hatinya seperti hati burung." (Riwayat Muslim)
Ertinya kata-kata di atas itu
disebutkan: Bahawasanya mereka itu sama bertawakkal. Juga dapat diertikan:
bahawasanya hati mereka itu lemah lembut.
78. Kelima: Dari
Jabir r.a. bahawasanya ia berperang bersama Nabi s.a.w. di daerah dekat Najad -
yakni perang Dzatur Riqa'. Setelah Rasulullah
s.a.w. kembali - dari
perjalanannya – ia pun kembali pula beserta mereka, kemudian mereka sama
memperolehi tidur siang dalam suatu lembah yang banyak pohon durinya. Rasulullah
s.a.w. turun dan orang-orang lain pun sama berteduh di bawah pohon. Rasulullah
s.a.w. itu turun di bawah pohon samurah kemudian menggantungkan pedangnya di
situ.
Kita semua tidur,
tiba-tiba Rasulullah s.a.w. memanggil-manggil kita dan di sisinya ada seorang
A'rab - orang Arab dari pergunungan, lalu beliau s.a.w. bersabda: "Orang ini
telah mengacungkan pedangku padaku, sedang saya tidur tadi, kemudian saya
bangun, sedangkan pedang itu terhunus di tangannya, ia berkata: "Siapakah yang
dapat menghalang-halangi engkau dari perbuatanku ini?" Saya menjawab: "Allah"
sampai tiga kali.
Tetapi beliau s.a.w.
tidak menghukum orang - yang akan membunuhnya - tadi dan beliau pun duduklah.
(Muttafaq 'alaih)
Dalam sebuah riwayat
lagi disebutkan:
Jabir berkata: "Kita
semua bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Dzatur Riqa', kemudian
datanglah kita pada pohon yang rendang - nyaman digunakan sebagai tempat
berteduh - pohon itu kita biarkan untuk digunakan oleh Rasulullah s.a.w.,
kemudian datanglah seseorang lelaki dari golongan kaum musyrikin sedangkan
pedang Rasulullah s.a.w. digantungkan pada pohon tersebut. Orang itu menghunus
pedangnya lalu berkata: "Adakah engkau takut padaku?" Rasulullah s.a.w.
menjawab: "Tidak." Orang itu berkata lagi: "Siapakah yang dapat
menghalang-halangi engkau dari perbuatanku ini." Beliau s.a.w. menjawab:
"Allah."
Disebutkan pula dalam
riwayat lainnya lagi iaitu riwayat Abu Bakar al-lsma'ili dalam kitab shahihnya
demikian:
Orang itu berkata:
"Siapakah yang dapat menghalang-halangi engkau dari perbuatanku ini." Beliau
s.a.w. bersabda: "Allah," kemudian jatuhlah pedang itu dari
tangannya.
Selanjutnya pedang
itu diambil oleh Rasulullah s.a.w., lalu bersabda: "Siapakah yang dapat
menghalang-halangi engkau dari padaku ini?" Orang tadi berkata: "Jadilah engkau
- hai Muhammad -sebaik-baiknya orang yang dimintai perlindungan." Rasulullah
s.a.w. bersabda pula: "Sukakah engkau menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah dan bahawasanya saya ini utusan Allah?" Ia menjawab: "Tidak suka aku
demikian, tetapi saya berjanji padamu bahawa saya tidak akan memerangi lagi
padamu dan tidak pula akan menyertai kaum yang memerangi engkau."
Oleh Rasulullah
s.a.w. orang tersebut dilepaskan jalannya -dibebaskan, kemudian ia mendatangi
sahabat-sahabatnya lalu berkata: "Saya telah datang padamu sekalian ini dari
sisi sebaik-baik manusia - yang dimaksud ialah baharu datang dari Nabi Muhammad
s.a.w.
Sabda Nabi s.a.w.:
Ikhtarathas saifa, ertinya mengacungkan pedang dalam keadaan terhunus dan
Wa huwa fi yadihi shaltan, ertinya: pedang itu di tangannya sudah
terhunus. Lafaz shaltan itu boleh difathahkan shadnya dan boleh pula
didhammahkan.
79. Keenam: Dari Umar
r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Andaikata engkau
sekalian itu suka bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal,
niscayalah Dia akan memberikan rezeki padamu sekalian sebagaimana Dia memberikan
rezeki kepada burung. Pagi-pagi burung-burung berperut kosong dan sore-sore
kembali dengan perut penuh berisi.
Diriwayatkan oleh
Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.
Adapun makna Hadis
itu ialah bahwa burung-burung itu pada permulaan hari siang, yakni mulai pagi
harinya sama pergi dalam keadaan khimash, artinya kosong perutnya, sebab
lapar, sedangkan pada akhir siang, yakni pada sore harinya sama kembali dalam
keadaan bithaan, artinya perutnya penuh sebab kenyang. Inilah tanda
tawakkalnya burung pada Allah.
80. Ketujuh: Dari Abu
'Umarah, yaitu Albara' bin 'Azib radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Hai Fulan, jikalau
engkau bertempat di tempat tidurmu - maksudnya jikalau hendak tidur - maka
katakanlah - doa yang artinya:
"Ya Allah, saya
menyerahkan diriku padaMu, saya menghadapkan mukaku padaMu, saya menyerahkan
urusanku padaMu, saya menempatkan punggungku padaMu, karena loba akan pahalaMu
dan takut siksaMu, tiada tempat bersembunyi dan tiada pula tempat keselamatan
kecuali kepadaMu. Saya beriman kepada kitab yang Engkau turunkan serta kepada
Nabi yang Engkau rasulkan.
Sesungguhnya engkau -
hai Fulan, jikalau engkau mati pada malam harimu itu, maka engkau akan mati
menetapi kefithrahan - agama Islam -dan jikalau engkau masih dapat berpagi-pagi,
- masih tetap hidup sampai pagi harinya, maka engkau dapat memperoleh kebaikan."
(Muttafaq 'alaih)
Disebutkan pula dalam
kedua kitab shahih - Bukhari dan Muslim, dari Albara', katanya: "Rasulullah
s.a.w. bersabda kepada-ku: "Jikalau engkau mendatangi tempat pembaringanmu -
maksudnya hendak tidur, maka berwudhu'lah sebagaimana berwudhu'mu untuk
bersembahyang, kemudian berbaringlah atas lambung kananmu, kemudian
ucapkanlah......." Lalu diuraikannya sebagaimana yang tertera di atas,
selanjutnya pada penutupnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jadikanlah ucapan
tersebut di atas itu sebagai penghabisan sesuatu yang engkau ucapkan - maksudnya
sehabis berdoa di atas, jangan lagi berkata yang lain-lain."
81. Kedelapan: Dari
Abu Bakar ash-Shiddiq, yaitu Abdullah bin Usman bin 'Amir bin 'Amr bin Ka'ab bin
Sa'ad bin Taim bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalibal-Qurasyi at-Taimi r.a.,
ia dan ayahnya, juga ibunya semuanya adalah termasuk golongan para sahabat
radhiallahu 'anhum, katanya: "Saya melihat pada kaki kaum musyrikin sedang kita
berada dalam guha dan orang-orang tersebut tepat di atas kepala kita, lalu saya
berkata: "Ya Rasulullah, andaikata seorang dari mereka itu melihat ke bawah
kakinya, pasti mereka akan dapat melihat tempat kita ini." Beliau s.a.w. lalu
bersabda:
"Apakah yang engkau
sangka itu, hai Abu Bakar bahwa kita ini hanya berdua saja. Allah adalah yang
ketiga dari kita ini - maksudnya senantiasa melindungi kita." (Muttafaq
'alaih)
82.
Kesembilan: Dari Ummul Mu'minin Ummu Salamah dan namanya sendiri adalah
Hindun binti Abu Umayyahyaitu Hudzaifah al-Makhzumiyah radhiallahu 'anha
bahwasanya Nabi s.a.w. itu apabila keluar dari rumahnya, bersabda - yang
ertinya:
"Dengan menyebut nama
Allah, saya bertawakkal kepada Allah."
"Ya Allah,
sesungguhnya saya mohon perlindungan kepadaMu kalau-kalau saya sampai tersesat
atau disesatkan, tergelincir - dari kebenaran - atau digelincirkan, menganiaya
atau dianiaya, menjadi bodoh - tidak mengerti sesuatu - ataupun dianggap bodoh
oleh orang lain atas diriku."
Hadis shahih yang
diriwayatkan oleh Abu Dawud, Termidzi dan lain-lainnya dengan sanad-sanad yang
shahih. Termidzi berkata bahawa ini adalah Hadis hasan shahih. Hadis di atas
adalah menurut lafaznya Imam Abu Dawud.
83. Kesepuluh: Dari
Anas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang
mengucapkan, yakni ketika keluar dari rumahnya: Bismillah, tawakkaltu
'alallah wala haula wala quwwata illabitlah - ertinya: Dengan menyebut nama
Allah, saya bertawakkal kepada Allah dan tiada daya serta tiada kekuatan
melainkan dengan pertolongan Allah, maka kepada orang itu dikatakanlah: "Engkau
telah diberi petunjuk, telah pula dicukupi keperluanmu, jika telah diberi
penjagaan. Syaitanpun menyingkirlah dari orang tersebut."
Diriwayatkan oleh Abu
Dawud, Tirmidzi dan Nasa'i serta lain-lainnya. Tirmidzi mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan. Abu Dawud menambahkan lalu berkata: "Bahawa syaitan yang
satu berkata kepada syaitan lainnya: "Bagaimana engkau dapat menggoda orang yang
telah diberi petunjuk telah dicukupi dan telah pula diberi
penjagaan."
84. Kesebelas: Dari
Anas r.a., katanya: "Ada dua orang bersaudara pada zaman Nabi s.a.w. salah
seorang dari keduanya itu datang kepada Nabi s.a.w., yang lainnya lagi bekerja.
Orang yang bekerja ini mengadu kepada Nabi s.a.w. mengenai saudaranya -yang
menganggur itu - lalu beliau s.a.w. bersabda:
"Barangkali engkau
diberi rezeki - oleh Allah - itu adalah dengan sebab adanya saudaramu - yang
engkau beri pertolongan makan dan lain-lain itu."
Diriwayatkan oleh
Tirmidzi dengan isnad shahih atas syarat Muslim.
Langganan:
Postingan (Atom)